Lawatan Kerja ke Taman Negara Kalamuku, Limbang
Posted on 11 Aug 2026
Source of News: SFC Facebook
YBrs Tuan Abang Arabi Abang Aimran, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) merangkap Controller Taman Negara dan Rizab Semulajadi Sarawak dan Controller Hidupan Liar Sarawak telah mengadakan lawatan kerja ke Taman Negara Kalamuku bagi meninjau status kesiapsiagaan taman ini untuk dibuka kepada orang awam pada masa hadapan.
Diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Area) pada 31 Mac 2016, Taman Negara Kalamuku melindungi kawasan hutan hujan tropika, sistem sungai serta kawasan tadahan air yang amat penting kepada bekalan air dan penjanaan tenaga hidro mini di Lawas.
Selain menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar seperti Beruang Matahari, Harimau Dahan, Kijang, Babi Hutan, Musang, Enggang dan pelbagai spesies mamalia serta burung, taman negara ini turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, keselamatan sumber air dan pemuliharaan biodiversiti Sarawak.
Lawatan ini juga menilai potensi pembangunan ekopelancongan berasaskan komuniti yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat Murut melalui peluang pekerjaan, pemeliharaan warisan budaya dan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam semula jadi.
Buat masa ini, Taman Negara Kalamuku belum dibuka untuk orang awam kerana usaha-usaha penyediaan dan penilaian sedang dilaksanakan bagi memastikan kawasan ini bersedia menerima pengunjung tanpa menjejaskan nilai konservasinya.