Program Pendidikan dan Kesedaran Awam 3M Buaya

Posted on 03 Mar 2026
Source of News: SFC Facebook
Bintulu | 27 Februari 2026

Program Pendidikan dan Kesedaran Awam 3M Buaya telah berjaya dilaksanakan di SK Sungai Sengian, Labang, melibatkan seramai 80 orang peserta terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah. Program ini menekankan aspek keselamatan serta langkah berjaga-jaga dalam menangani konflik buaya, khususnya di kawasan sekolah berhampiran sungai yang berisiko banjir semasa musim hujan.

Peserta turut didedahkan kepada biologi, tingkah laku dan peranan buaya dalam ekosistem, serta perlindungan undang-undang di bawah Ordinan Hidupan Liar 1998, bagi menegaskan kepentingan keseimbangan antara keselamatan manusia dan pemuliharaan hidupan liar.

Selain itu, pertandingan mewarna bertemakan amaran “AWAS BUAYA” telah dianjurkan khas untuk murid prasekolah sebagai pendekatan awal memupuk kesedaran dan naluri berhati-hati sejak usia muda. Sarawak Forestry Corporation komited untuk terus memperkasa komuniti melalui pendidikan dan kesedaran, kerana pencegahan bermula dengan pengetahuan dan keselamatan bermula dengan kesedaran, demi mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan harmoni dengan alam semula jadi.